Nota-nota


PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA SELEPAS KEMERDEKAAN HINGGA KINI.



Sebelum berlakunya kemerdekaan di Tanah Melayu sistem pendidikan di negara ini masih lagi berpecah dan berlaku perbezaan kaum dalam kalangan masyarakat Malaysia.  Pada masa tersebut wujud lima jenis sistem persekolahan iaitu sekolah agama, sekolah melayu, sekolah cina, sekolah tamil dan sekolah Inggeris.  Manakala lokasi setiap sekolah tersebut terpisah antara satu sama lain, sekolah-sekolah melayu di pertempatkan di desa, sekolah india di ladang, dan sekolah cina di kawasan perlombongan.  Seterusnya bahasa pengantar setiap sekolah juga berbeza.  Jelas hal ini menunjukkan sistem-sistem persekolahan seperti ini menjejaskan perpaduan rakyat di Tanah melayu.  Keadaan ini menunjukkan tidak akan belaku interaksi antara pelajar-pelajar melayu, cina dan india .  Lantaran itu perpaduan tidak dapat dipupuk dalam kalangan pelbagai kaum.  Selain itu,kaum cina dan india hanya dapat berinteraksi apabila masuk ke sekolah Inggeris  manakala kaum melayu tidak terlibat kerana sekolah Inggeris majority dalam kalangan cina dan india.
Dengan itu, dapatlah disimpulkan bahawa semasa sebelum berlakunya merdeka pihak British tidak berminat untuk membangunkan rakyat di Tanah Melayu pada ketika itu, mereka hanya berminat untuk memilik hasil bumi di Tanah melayu.  Selain itu, pihak British juga membiarkan sahaja sekolah-sekolah ini ditubuhkan berdasarkan kurikulum yang pelbagai jenis dan membiarkan wujudkan perbezaan perkauman.  Pihak British juga tidak pernah berusaha untuk mewujudkan satu sistem pendidikan tuggal yang boleh memupuk perpaduan kaum dalam kalangan rakyat Tanah Melayu.
Tetapi, selepas berlakunya kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 Tanah Melayu dikenali sebagai Malaysia dan turut berlaku perubahan yang besar dalam sistem pendidikan.  Matlamat utama perubahan sistem pendidikan di Malaysia ialah mewujudkan pendemokrasian pendidikan.



2.0  Hala tuju Pendidikan selepas merdeka.
Selepas berlakunya kemerdekaan kerajaan Malaysia menyedari bahawa pendidikan Negara perlu dipertingkatkan agar dapat menaikan nama negara ke mata dunia.  Selain itu bagi menghadapi cabaran globalisasi kerajaan mengorak langkah dengan membentuk kurikulum yang sesuai untuk sistem pendidikan negara.  Perubahan dalam sistem pendidikan negara mengikut peringkat-peringkat perubahan pascamerdeka iaitu era 1957-1970, era 1971-1990, era 1991-2000 dan era 2001-2010.
a)      Era 1957-1970
Semasa era 1957 Ordinan 1957 telah dibentuk bagi memantapkan halatuju pendidikan.  Ordinan ini mencakupi peraturan-peraturan pelajaran (disiplin sekolah) 1959.  Perancangan pendidikan dirangka untuk semua kaum dalam masyarakat dan juga meliputi semua aspek perkembangan pendidikan Malaysia.    

Seterusnnya atas kesedaran ingin mengembangkan pendidikan negara kerajaan telah merangka Laporan Rahman Talib,1960 iaitu mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib selain Bahasa Inggeris.  Kesan dari Laporan Rahman Talib, 1960 telah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan sebagai bahasa pengantar utama pada semua peringkat pendidikan serta menjadikan kurikulum dan peperiksaan yang sama kepada semua pelajar.   Melalui laporan Rahman Talib 1960 Bahasa melayu di ajar mulai darjah satu  di semua jenis sekolah rendah dan meletakan syarat lulus dalam mata pelajaran bahasa melayu bagi calon-calon ke sekolah menengah dan pusat latihan guru.   Selain itu, kesan dari kesedaran itu kerjaan telah mengambil keputusan dengan memberikan insentif kepada guru-guru supaya mendapat kelulusan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.  Dari hal itu, Akta Pelajaran 1961 telah dibentuk agar mampu melonjakan bidang pendidikan di negara ini.

            Rentetan dari Akta Pelajaran 1961 pada tahun 1962 semua pelajar mendapat pendidikan percuma ia bertujuan untuk membantu semua rakyat yang miskin dan juga rakyat yang kaya kerana semua orang mendapat hak pendidikan.  Seterusnya pada tahun 1964 dasar pendidikan telah memberi peluang kepada pelajar untuk mendapatkan hak pendidikan selama 9 tahun dari darjah 1 hingga tingkatan 3.  Lebih-lebih lagi pada masa yang sama Rancangan Malaysia Pertama telah diperkenalkan iaitu pada 1966 hingga 1970 yang mengutamakan kebajikan rakyat dan meningkatkan taraf pendidikan penduduk di kawasan luar bandar terutamanya dalam kalangan mereka yang berpendapatan rendah. 

Kesimpulanya, dapat dilihat disini era 1957-1970 lebih kepada penyatuan semua kaum dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran yang wajib diambil oleh pelajar untuk memudahan interaksi antara kaum. Selain itu, dengan adanya Falsafah Pendidikan yang bermatlamatkan sama rata dengan tidak menyisihkan kaum, darjat dan agama dapat membantu dalam meningkatkan lagi perkembangan pendidikan di Malaysia pada masa ini, kesan yang dapat dilihat pada era ini menunjukkan bahawa pendidikan pada masa ini membawa kepada anjakan paradigma yang proaktif dalam sistem pendidikan.

b)      Era 1971-1990
Pada masa ini dikenali sebagai zaman ekonomi baru iaitu kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas berlaku rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.  Rentetan dari peristiwa ini  telah memberikan impak yang besar pada sistem pendidikan.  Oleh itu, kerajaan telah meningkatkan usaha untuk mengurangkan jurang sosio-ekonomi antara kaum.  Disamping itu, bagi mengelakkan kecelaruan antara kaum Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar dan kerajaan membuat semakan terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan 1979 dan membuat pembaharuan bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Seterusnya usaha kerajaan bagi meningkatkan pendidikan negara telah banyak memberi kesan kepada rakyat yang tidak berkemampuan.  Hal ini kerana kebajikan golongan miskin dalam pendidikan ditingkatkan lagi dengan melaksanakan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).  Selain itu, kerajaan juga melaksanakan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bertujuan untuk membantu golongan pelajar yang kurang berkemampuan mendapat makanan seimbang.  Usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak meninggalkan golongan miskin.

Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) telah diperkenalkan pada tahun 1982 sebagai peringkat percubaan.  Kemudian diteruskan dengan melaksanakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun 1988 apabila murid yang berada dalam KBSR masuk ke sekolah menengah.  Melalui KBSR sistem pendidikan Negara dibaik pulih dengan adanya komponen-kompenen yang terdapat dalam KBSR seperti kemahiran 3M, kemahiran berfikir, nilai merentas kurikulum, patriotisme, Bahasa Melayu merentas Kurikulum.  KBSR lebih kepada perkembangan individu murid-murid digalakan untuk mengambil muzik, lukisan dan aktiviti-aktiviti penulisan.  Oleh itu, satu kajian tentang penilaian pencapaian KBSR ini telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan dengan Universiti Sains Malaysia pada tahun 1982. Laporan Fasa I (1988) kajian tersebut menunjukkan bahawa taraf penguasaan murid-murid dalam 3M ini adalah lebih tinggi apabila dibandingkan dengan murid-murid yang mengikuti kurikulum lama. Murid-murid KBSR berjaya menguasai kemahiran belajar seperti menyoal, berbincang dan mengeluarkan pendapat . Sebilangan besar murid juga telah menguasai kemahiran belajar yang lebih kompleks lagi seperti memberikan idea.

 Walau bagaimanapun kesan KBSR ini kepada guru ialah ketidaksediaan guru untuk menghadapinya.  Kebanyakan guru dibawah KBSR dibebani dengan tugasan yang berat kerana terpaksa mengendalikan bilik darjah yang besar dan mempunyai 40 orang murid. Selain itu, guru-guru juga telibat dalam penyimpanan rekod dan akhirnya guru-guru hanya mementingkan fail-fail sebelum murid-murid.  Keadaan ini telah membawa impak sampai ke hari ini dimana guru-guru dibebani dengan sistem fail yang berbagai-bagai. 

Kemudian dalam era ini juga Falsafah Pendidikan Negara (FPN) telah diperkenalkan lebih kearah membentuk modal insan dan menjadikan rakyat Malaysia warganegara baik dengan menjadikan insan yang percaya dan patuh kepada tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, serta memiliki sahsiah seimbang dan sepadu sepertimana apa yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara pada tahun 1987.  Kesan dari FPN yang telah diperkenalkan sistem pendidikan negara lebih nampak jelas sehingga sekarang kerana hala tuju pendidikan kebanyakannya merujuk kepada FPN iaitu lebih ke arah untuk melahirkan insan yang cemerlang dari segi Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS).  Melalui penambahbaikan yang dijalankan mengakibatkan sistem pendidikan di negara kita semakin hari semakin bersistematik. Dengan adanya FPN matlamat untuk menjadikan negara di Malaysia makmur dan masyarakat majmuk yang sejagat dapat direalisasikan. 

c)       Era 1991-2000
Pada era 90an ini memperlihatkan Negara telah melangkah ke era pembangunan yang pesat bagi memastikan Negara mencapai kemajuan Negara dengan terancang iaitu melalui RMK6 dari tahun 1991-1995 dan RMK7 1996-2000.  Oleh itu kerajaan juga telah memperkenalkan Dasar Pembangunan Negara yang mempunyai pengetahuan tentang tujuan, rasional, konsep, perlaksanaan dan kesan-kesan pembangunanan melalui Dasar Pembangunan Nasional, Dasar bersih,cekap dan amanah dan pelan integrati Nasional.

Dasar Pembangunan Nasional DPN menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial, nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi.  Manakala Dasar bersih cekap dan amanah pula adalah bertujuan untuk Bagi mewujudkan satu etika kerja dan sikap berkhidmat yang baru bagi rakyat Malaysia dengan memberi keutamaan kepada peningkat hasil (productivity) dan mutu kerja.  Seterusnya Pelan Integrasi Nasional (PIN) bertujuan untuk menanam dan memupuk budaya etika dan integriti di kalangan semua lapisan masyarakat Malaysia

Seterusnya pada tahun 1992 kerajaan telah memperkenalkan pendidikan umum selama 11 tahun iaitu setiap daripada rakyat Malaysia diwajibkan untuk mengikuti sesi persekolahan bermula dari tahun 1 sehinggalah ke tingkatan 5.  Kemudia kerajaan telah memurnikan Kurikulum Baru Sekolah Rendah kepada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.  Ia mampu untuk meningkatkan hala tuju pendidikan di masa akan datang.

Selain itu, pada era ini dapat diperlihatkan perubahan yang pesat dalam pembangunan dunia pendidikan melalui falsafah dan hala tuju pendidikan Negara.  Kerajaan juga telah meningkatkan perundangan bagi melancarkan pembangunan pendidikan melalui penggubalan undang-undang dan Pindaan Akta contohnya seperti Akta Pelajaran 1961 dengan mengantikan kepada Akta Pendidikan Tinggi Negara 1996  iaitu membolehkan penubuhan sebuah majlis yang bertujuan untuk menentukan dasar dan menyelaraskan pebangunan Pendidikan Tinggi. Mewujudkan Akta Lembaga Akredasi Negara (LAN) 1996 bagi memastikan tahap pendidikan dengan jaminan kualiti tinggi dan kawalan mutu pendidikan terpelihara dalam pendidikan swasta. Seterusnya Akta PTPTN (Pindaan 2000) iaitu membenarkan pinjaman kepada pelajar di Institut Pengajian Tinggi dan swasta.

Kesimpulanya, pada era ini dapat dilihat disini pembangunan negara banyak mengalami perubahan bagi mencapai hala tuju pendidikan agar lebih cemerlang dan tebilang di masa hadapan.
   
d)      Era 2001-2012
Pada abad ini pembangunan pendidikan negara mengalami trasformasi yang banyak untuk menghadapi cabaran globalisasi iaitu menghadapi dunia tanpa sempadan telah menyebabkan Malaysia mesti mewujudkan strategi untuk pembangunan pendidikan dalam aspek politik,  ekonomi dan sosial.  Kerajaan telah membuat penambahbaikan bagi meneliti semula projek dan program yang telah dirancang bagi mencapai apa yang terkandung dalam Falsafah Negara iaitu untuk melahirkan warganegara yang berilmu pengetahuan dalam bidang teknologi dan berkemahiran serta berakhlak mulia. Banyak perubahan yang dilakukan oleh kerajaan bagi meningkatkan pembangunan dalam pendidikan pada abad ke-21 ini dan juga memperhebatkan perundangan, dasar dan program utama ia memberikan impak yang besar kepada Negara antaranya seperti berikut:-

i.                  Pada tahun 2003, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI) diperkenalkan (Keputusan Jemaah Menteri, 2002) dan Bayaran Insentif Subjek Pendidikan (BISP) turut diperkenalkan.  Walau bagaimanapun perlaksanaannya tidak dapat menunjukkan hasil yang memberangsangkan apabila Laporan Trends in Mathematics Science Study (TIMSS) tahun 2007 menunjukkan bahawa pencapaian murid Malaysia merosot dari tempat ke10 pada tahun 2003 ke 20 manakala bagi Matematik dan mata pelajaran Sains dari tempat ke 20 pada tahun 2003 ke 21 pada tahun 2007.  Kemudian berlaku jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semasa perlaksanaan PPSMI.  Rentetan dari itu kerajaan telah memansuhkan PPSMI dan digantikan dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).  Dengan perlaksanaan MBMMBI ini dapat dilihat akan usaha kerajaan untuk memartabatkan semula bahasa melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan dan  bahasa hubungan utama selaras dengan perkara yang termaktub dalam perkara 152, Perlembagaan Malaysia dan juga Akta Pendidikan 1996 yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

ii.                Program j-QAF diperkenalkan pada tahun 2005 dan diperluaskan pada tahun 2006 bagi memastikan murid Islam menguasai Jawi, Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardhu Ain apabila tamat sekolah rendah (Keputusan Jemaah Menteri, 2003).     Melalui j-Qaf ini dapat dilihat ia adalah salah satu usaha kerajaan bagi meningkatkan kembali huruf jawi yang telah hilang lapuk dek zaman. 

iii.               Pada tahun 2006 aktiviti kokurikulum diperbaiki dengan penambahan peruntukan per kapita pelajar daripada RM2.50 kepada RM10 untuk sekolah rendah dan RM12 untuk sekolah menengah (Keputusan Jemaah Menteri, 2005). Di samping itu, aktiviti kokurikulum dijadikan syarat kelayakan ke IPTA mulai 2006 (Keputusan Jemaah Menteri, 2005)
Pada era ini juga, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 (PIPP) diperkenalkan untuk memartabatkan hala tuju dan falsafah pendidikan di negara Malaysia. Antara yang termaktub dalam PIPP ialah berdasarkan kepada enam teras iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan. Pada peringkat ini hala tuju pendidikan negara lebih bersifat untuk melahirkan masyarakat yang mampu bersaing di peringkat global berdasarkan kepada falsafah pendidikan yang dicanangkan dalam sistem pendidikan di Malaysia.
            Keberkensanan PIPP  telah diakui oleh Delegasi Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-179 terutama bagi mengurangkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar.  Bersesuaianlah dengan matlamat Negara iaitu meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Demi menghadapi cabaran wawasan 2020 iaitu untuk mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur.  Oleh itu, rakyat Malaysia pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama mereka dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara  dan demi mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif. Kerajaan telah mewujudkan sekolah wawasan untuk meningkatkan perpaduan.  Kemudian kerajaan menubuhkan Sekolah Bestari dan Kluster  pada tahun 2010 bertujuan untuk melatih pelajar-pelajar pandai dalam teknologi terkini untuk melahirkan generasi yang mampu menghadapi wawasan 2020.  Walau bagaimanapun kejayaan dalam penubuhan Sekolah Bestari ini masih tidak kesampaian di seluruh negara kerana hanya berjaya dilaksanakan di beberapa kawasan sahaja.

            Kemudian, kerajaan menukar KBSR kepada Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).  Penubuhan KSSR adalah berhasrat  untuk melahirkan insan yang seimbang, berfikiran kreatif, kritis dan inovatif melalui tunjang-tunjang komunikasi, sains dan teknologi, perkembangan fizikal dan estetika, keterampilan diri,  kemanusiaan dan kerohanian, sikap dan nilai.

Kurikulum Standard Sekolah Rendah berteraskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan  Dasar Pendidikan Kebangsaan.  KSSR mengambil kira cabaran abad ke-21, Model Baru Ekonomi (MBE) dan teori pembelajaran terkini. KSSR juga mengguna pakai empat tonggak pendidikan UNESCO, iaitu belajar untuk mengetahui (learning to know), belajar untuk bertindak (learning to do), belajar untuk hidup bersama (learning to live together) dan belajar untuk membentuk peribadi (learning to be).  Impak kepada perubahan ini hanya akan dilihat di masa hadapan.  Apa yang perlu dilakukan sekarang guru-guru mestilah lebih bersedia untuk menghadapi perubahan ini.  Selain itu, guru-guru perlu meningkatkan daya kreativiti dan inovasi masing-masing demi menghadapi perubahan kurikulum dan menghadapi dunia globalisasi untuk cabaran wawasan 2020.


3.0 KESIMPULAN
Kesimpulanya, sistem pendidikan di Malaysia banyak berlaku perubahan dari semasa ke semasa.  Pelbagai usaha kerajaan demi menghadapi 9 cabaran wawasan 2020 dan demi menghadapi dunia globalisasi.  Selain itu, biarpun kerajaan menjalankan pelbagai usaha peranan Falsafah Negara sebagai tunggak dasar pendidikan dan  tidak pernah lupakan.  Oleh itu, banyak impak yang diperolehi kesandari pembangunan dan peningkatan mutu pendidikan sama ada ia bersifat positif atau sebalik.  Walau bagaimanapun ia adalah satu usaha kerajaan demi memantapkan sistempendidikan agar negara Malaysia mampu bersaing dengan negara-negara maju dan juga negara yang membangun.  Oleh itu, pelbagai pihak perlu mengambil peranan dan saling bekerjasama dalam memantapkan lagi sistem pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Falsafah pendidikan Guru khususnya bagi para guru kerana guru-guru merupakan tonggak utama sebuah sistem pendidikan itu berjalan dengan lancar.

TEORI-TEORI PEMBELAJARAN MATEMATIK

TEORI-TEORI PEMBELAJARAN MATEMATIK
Oleh  :   Zawawi Bin Hussin

Pengenalan
Kita sentiasa mendengar aduan murid-murid sekolah rendah dan menengah bahawa matematik adalah mata pelajaran yang susah. Tambahan pula, ada yang berkata bahawa matematik adalah mata pelajaran yang membosankan. Mengapakah keadaan demikian terjadi?

Salah satu faktanya adalah salah faham tentang cara-cara bagaimana murid-murid di sekolah rendah dan menengah mempelajari matematik. Sebagai contoh, pada masa dahulu apabila mengajar operasi darab di sekolah rendah, guru cuma menulis sifir darab pada papan tulis dan murid menyalinnya kedalam buku latihan. Kemudian, murid-murid menghafaznya dan meluahkan semuanya tanpa berfikir langsung apabila disoal oleh guru.

Selain  itu, mereka juga diberi banyak latihan kira-mengira dalam topik berkenaan. Akibatnya, murid-murid memang mahir dalam kira-mengira operasi darab tetapi tidak mengerti apa yang dilakukannya. Oleh sebab matematik merupakan mata pelajaran yang bertimbun dan memerlukan kefahaman pada pelajaran yang diajar dahulu sebelum mempelajari topik baru dimulakan, pembelajaran matematik akan bertambah susah kepada murid-murid apabila umur mereka meningkat sehingga kehilangan minat terhadap mata pelajaran itu, akibat kurang faham pada peringkat awal.

Sebagai seorang guru matematik yang berkesan dan pendidik matematik yang pakar, maka wajar bagi kita mengetahui perkembangan kognitif murid-murid dan cara-cara bagaimana mereka memahami konsep matematik supaya pengajaran kita lebih berkesan. Dengan mengetahui perkembangan kognitif kanak-kanak, pendidik-pendidik matematik dapat memperbaiki kurikulum matematik lagi dengan memasukkan topik-topik matematik yang sesuai dengan kebolehan kognitif dan psikologi murid dalam mata pelajaran matematik.

Ramai ahli psikologi yang terkenal telah menjalankan kajian, tinjauan dan eksperimen terhadap pengajaran dan pembelajaran matematik dan telah mengemukakan berbagai-bagai teori pembelajaran yang membawa kesan pesat terhadap kurikulum matematik masa kini. Saya akan mengemukakan secara ringkas beberapa teori pembelajaran yang memberi sumbangan besar dalam pendidikan matematik.

1.     TEORI PEMBELAJARAN JEAN PIAGET
Jean Piaget yang dilahirkan pada 9 Ogos 1896 di Switzerland, adalah ahli psikologi yang agung dalam bidang pendidikan. Beliau mendapat latihan awal dalam bidang biologi dan mendapat Ijazah Doktor  Falsafah dalam bidang biologi pada umur 22 tahun. Tetapi beliau lebih menumpukan  perhatiannya terhadap kajian perkembangan kognitif kanak-kanak. Sebelum meninggal dunia pada tahun 1980, beliau adalah Pengarah Pusat Antarabangsa Epistimologi Genetik di Geneva.

Telah diketahui umum bahawa perkembangan intelek murid bergantung kepada potensi semula jadi dan alam persekitaran yang meransangnya. Tugas guru ialah menyediakan alam persekitaran membina kepada murid supaya pemindahan pengetahuan dapat dilaksanakan dengan licin.

Jean Piaget telah banyak membuat kajian dan eksperimen dalam bidang psikologi pembelajaran kanak-kanak. Beliau berpendapat bahawa pemikiran kanak-kanak berbeza dari satu peringkat ke satu peringkat dan telah membahagikan perkembangan kognitif kanak-kanak kepada empat peringkat.

1.1 Peringkat Deria Motor
Peringkat ini bermula dari masa lahir hingga ke umur dua tahun.  Kanak-kanak mengetahui alam sekitarnya melalui kesan deria dan gerak balasnya. Mereka mengetahui benda-benda wujud dalam alam persekitaran mereka secara fizikal dan bukan fizikal, tetapi tidak berfikir langsung kenapa benda itu wujud. Misalnya, kanak-kanak tahu ibu akan mendampinginya jika dia menangis. Dia juga mengetahui adanya perhubungan antara benda-benda. Misalnya, jika dia berasa lapar, dia menangis; jika hendak menaiki meja, dia akan menggunakan kerusi.

1.2 Peringkat Pra-Operasi
Peringkat ini bermula dari umur dua tahun hingga keenam tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak lebih sosial dan menggunakan bahasa serta tanda untuk menggambarkan sesuatu konsep. Mereka masih tidak dapat membuat perbandingan antara benda, tidak mengetahui padanan satu dengan satu antara objek dan hubungan antara objek; tidak dapat mengelaskan objek-objek mengikut saiz, warna dan sebagainya. Tambahan pula, pemikiran mereka dipengarui oleh apa yang diamatinya.

Dalam eksperimen yang dijalankan oleh Piaget, kanak-kanak berumur antara empat tahun dan lima tahun diberikan tujuh cawan berbaris dengan sekumpulan telur.

Rajah    (a)

Kanak-kanak disuruh menyusun telur sehingga sama panjang dengan cawan (Rajah (a)). Kemudian kanak-kanak diminta memasukkan telur ke dalam cawan untuk mengetahui bahawa bilangan telur lebih banyak daripada bilangan cawan. Telur yang berlebih disimpan balik dan kanak-kanak mengeluarkan telur dari cawan dan menyusunnya rapat-rapat sebagai satu garisan di depan cawan. Sekarang kanak-kanak itu menyatakan bilangan cawan lebih banyak daripada bilangan telur. Hal ini menunjukkan bahawa kanak-kanak pada peringkat ini tidak mampu mengerti padanan 1 dengan 1. Jawapan kanak-kanak semata-mata berdasarkan perbandingan diantara kedua-dua panjang yang ditunjukkan oleh cawan dan telur.

Eksperimen ini juga dijalankan juga untuk kanak-kanak berumur antara lima hingga enam tahun. Kanak-kanak dapat membina konsep padanan satu-satu dengan memasukkan sebiji telur ke dalam setiap sebiji cawan. Tetapi apabila telur dikeluarkan dan disebarkan sebaris secara longgar, kanak-kanak menyatakan bahawa bilangan telur lebih banyak daripada bilangan cawan. Ini menunjukkan bahawa kanak-kanak dapat membentuk konsep paduan 1-1 antara kedua-dua set tetapi tidak dapat mengekalkannya sebaik sahaja bentuk atau rupa diubah, iaitu operasi songsang tidak diamati oleh kanak-kanak. Kanak-kanak hanya dapat mempelajari satu perkara pada satu masa sahaja dan pemikirannya dipengaruhi oleh satu aspek pada satu masa. Piaget telah menjalankan satu eksperimen apabila kuantiti air yang sama dituangkan ke dalam dua silinder yang berlainan diameter dan tinggi seperti dalam Rajah (b) dan Rajah (c).

Rajah (b)                                            

Rajah (c)

Kanak-kanak yang dipengaruhi oleh diameter menyatakan bahawa kuantii air pada Rajah (b) lebih banyak daripada kuantiti air pada Rajah (c), sedangkan kanak-kanak yang dipengaruhi oleh tinggi menyatakan kuantiti air pada Rajah (c) lebih banyak daripada kuantiti air pada Rajah (b).

Jelaslah bahawa, daripada eksperimen ini kanak-kanak belum dapat menguasai konsep keabadian kuantiti.

1.3 Peringkat Operasi Konkrit
Peringkat ini bermula dari umur enam tahun hingga dua belas tahun. Kanak-kanak mula dapat mengekalkan konsep padanan 1 dengan 1 antara dua set; mereka dapat juga memahami konsep keterbalikan dan dapat membalikkan proses secara abstrak. Dalam eksperimen cawan dengan telur yang sama banyak, kanak-kanak berumur enam tahun menyatakan bahawa telur dan cawan adalah sama banyak, walaupun telur disebarkan jauh sebaris kerana semuanya dapat dimasukkan balik ke dalam setiap cawan.

Pada peringkat ini juga, kanak-kanak dapat mempelajari lebih daripada dua perkara pada satu masa dan dapat menguasai konsep keabadian. Dalam eksperimen menuangkan kuantiti air yang sama ke dalam dua silinder berukuran berbeza, kanak-kanak menyimpulkan bahawa kuantiti air tidak berubah walaupun bentuk berubah.

Selain itu, kanak-kanak mempunyai kebolehan mengelas, menyusun dan membezakan objek-objek. Mereka dapat juga memahami aritmetik asas, jisim, panjang, sifat transitif dan proses matematik. Tetapi pembelajaran berkesan masih bergantung kepada objek-objek konkrit dan pengalaman secara langsung.

1.4     Peringkat Operasi Formal
Peringkat ini bermula daripada umur dua belas tahun. Kanak-kanak memasuki peringkat pemikiran abstrak. Mereka mempunyai kebolehan berfikir tanpa pengalaman konkrit, membuat kesimpulan dengan menstrukturkan situasi secara mental, misalnya, membuktikan teori-teori matematik. Selain itu, ia dapat menggunakan simbol-simbol matematik dan mengulas idea abstrak, mengaitkan satu konsep dengan konsep yang lain, memanipulasikan konsep secara mental dan menggunakan logik dalam menyelesaikan masalah.

2.       JEROME BRUNER
Jerome Bruner dilahirkan dalam tahun 1915. Beliau bertugas sebagai profesor psikologi di Universiti Harvard di Amerika Syarikat dan dilantik sebagi pengarah di Pusat Pengajaran Kognitif dari tahun 1961 sehingga 1972, dan memainkan peranan penting dalam struktur Projek Madison di Amerika Syarikat.  Setelah itu, beliau menjadi seorang profesor Psikologi di Universiti Oxford di England.

Beliau berpendapat bahawa seseorang murid belajar dengan cara menemui struktur konsep-konsep yang dipelajari. Kanak-kanak membentuk konsep dengan mengasingkan benda-benda mengikut ciri-ciri persamaan dan perbezaan. Selain itu, pengajaran didasarkan kepada perangsang murid terhadap konsep itu dengan pengetahuan sedia ada. Misalnya,kanak-kanak membentuk konsep segiempat dengan mengenal segiempat mempunyai 4 sisi dan memasukkan semua bentuk bersisi empat kedalam kategori segiempat,dan memasukkan bentuk-bentuk bersisi tiga kedalam kategori segitiga.

Berdasarkan pengetahuan sedia ada tentang konsep segiempat, murid-murid membina konsep segiempat sama dengan mengasingkan bentuk-bentuk, segiempat-segiempat yang bersisi sama dan membezakan rombus dengan segiempat sama mengikut ciri sudutnya.

Murid-murid mestilah bersedia menerima perkara yang akan disampaikan. Alampersekitaran dapat memberi perrtolongan dan pengetahuan yang sedia ada dapat membantunya. Selain itu,maka lebih berkesan bagi murid-murid memahami bahawa operasi bahagi tidak bersifat tatatertib dengan mengira hasil bahagi 8 – 2  dan  2 – 8 itu sendiri dan bukan semata-mata diberitahu oleh guru.

3.     ROBERT GAGNE
Robert Gagne seorang profesor di Florida State University adalah pakar dalam psikologi pembelajaran dan terkenal dengan penerbitan-penerbitannya dalam bidang ini.

Beliau menyatakan wujudnya berbagai-bagai proses dalam fikiran murid ketika pembelaran berlaku dan  proses-proses ini dipengaruhi oleh faktor-faktor luar. Menurut beliau lagi, pengajaran ialah penyusunan faktor-faktor ini semula untuk menggalakkan dan menyokong proses-proses dalam fikiran supaya pembelajaran dilicinkan. Disamping itu, pembelajaran adalah berperingkat-peringkat kesukarannya, iaitu daripada yang mudah kepada yang susah dan pembelajaran bermula daripada apa yang diketahui oleh murid. Jadi, tugas guru adalah menentukan sejauh mana pengetahuan yang sedia ada pada murid supaya pengajaran dapat didasarkan kepadanya. Selepas itu, rancangan pengajaran guru disusun mengikut urutan pengajaran., iaitu peringkat mudah dan asas didahulukan sebelummenempuh pembelajaran seterusnya.

Robert Gagne membahagikan pembelajaran kepada lapan peringkat apabila kesukaran pembelajaran bertambah dari peringkat ke peringkat. Lapan peringkat pembelajaran adalah seperti yang berikut;

1. Pembelajaran lambang.
2. Pembelajaran tindak balas ransangan.
3. Rantaian.
4. Pembelajaran perkaitan lisan.
5. Pembelajaran perbezaan.
6. Pembelajaran konsep.
7. Pembelajaran peraturan.
8. Penyelesaian masalah.

KESIMPULAN
Selepas mengetahui teori-teori yang dikemukakan oleh ahli-ahli psikologi dan ahli-ahli matematik yang terkenal, apakah implikasinya kepada kita sebagai guru matematik dalam pengajaran kita di sekolah?

Daripada teori-teori yang dibincangkan tadi, telah diterima umum bahawa adalah lebih berkesan lagi murid-murid mempelajari konsep matematik melalui pengalaman konkrit. Tugas guru ialah menyediakan berbagai-bagai situasi dan aktiviti dengan menggunakan alat-alat bantu mengajar untuk membekalkan pelbagai pengalaman konkrit kepada murid. Pengajaran guru hendaklah berpusatkan murid dan murid menjalankan aktiviti untuk menemui rumus, kesimpulan atau konsep matematik yang hendak disampaikan.

Disamping itu, guru hendaklah menggunakan pengetahuan yang sedia ada pada murid sebagai asas untuk menyampaikan konsep matematik yang baru. Guru harus juga mengetahui penguasaan murid terhadap topik yang diajar dahulu sebelum memulakan topik yang baru. Contoh-contoh matematik yang ditunjukkan seharusnya berkait rapat dengan kehidupan seharian murid supaya mereka berasa pembelajaran itu bermakna.

Satu faktor penting dalam pengajaran matematik ialah struktur yang terdiri daripada konsep dan petua dan dikaitkan dengan bahagian-bahagian yang lain. Hal ini menunjukkan betapa perlunya perancangan pengajaran matematik yang berbentuk jangka masa panjang. Selain itu, konsep matematik bolehlah diserapkan kepada mata pelajaran yang lain supaya murid-murid dapat mempelajarinya secara tidak langsung.Guru harus juga memastikan bahawa istilah dan bahasa matematik jelas dan mudah difahami oleh murid-murid, kerana hal ini memudahkan pengajaran matematik.

Dalam pengajaran guru, ciri-ciri spesifik, ciri-ciri persamaan dan perbezaan pada sesuatu topik patut diberikan penekanan untuk mengelakkan kekeliruan dan mengekalkan ingatan. Isi pelajaran juga disusun secara logik agar pemindahan pengetahuan menjadi mudah.

Pemberian latihan hendaklah berperingkat-peringkat kesukarannya, iaitu daripada yang mudah kepada yang susah, agar pembelajaran berlaku secara licin dan lebih berkesan.

Akhir kata, dengan mempraktikkan teori-teori psikologi pembelajaran kedalam proses pengajaran dan pembelajaran, maka tidak dapat dinafikan bahawa pembelajaran matematik akan lerbih berkesan lagi.

BIBLIOGRAFI
Dr. Isahak Haron. 1982. Asas-asas dalam Amalan Pedagogi.
Kuala Lumpur;  Utusan Publications & Distributor Sdn. Bhd.

Frank J. Swetz. 1983. Pengajaran Matematik di Sekolah Menengah Malaysia.
Petaling Jaya;  Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Gregory R. Baur. 1976. Helping Children Learn Mathematics.
California; Cummings Publishing, Inc.

Mary Goldstein.  1975. Teaching in the First School.
London & Sydney; B.T. Batsford Ltd.

Richard W. Copeland.  1974. How Children Learn Mathematics.
New York;  Macmillan Publishing Co., Inc.

Mathematics in Primary School. 1972.
London;  School Council Publications.

No comments:

Post a Comment