Monday 2 July 2012

IMPLIKASI FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah diumumkan secara rasmi pada tahun 1988 telah dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti faktor agama, sosial, politik, ekonomi, individu, dan faktor sejagat. Faktor-faktor ini telah menjadikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan mempunyai matlamat-matlamat yang tersendiri untuk dicapai. Justeru itu, segala aktiviti, perancangan, dan pencapaian hendaklah selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan sememangnya telah memberi beberapa implikasi terhadap sistem pendidikan di negara kita seperti implikasi terhadap kurikulum sekolah yang merangkumi beberapa aspek seperti perubahan sukatan subjek pelajaran yang berteraskan kepada program bersepadu seperti Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
Selain itu, kurikulum sekolah juga dilihat telah mengalami perubahan dari segi bahan-bahan pengajaran yang lebih menitikberatkan nilai-nilai murni yang diserapkan kedalam semua subjek bagi mencapai matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Perubahan kurikulum sekolah juga dapat dilihat dalam sistem pendidikan negara kita yang mula berorientasikan ke arah pendidikan umum dan perubahan sukatan pelajaran yang sesuai bagi mengasah kemahiran pelajar dalam bidang teknologi, teknik dan vokasional.
Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang seterusnya ialah terhadap pendidik iaitu perubahan peribadi pendidik selari pandangan dan visi positif dalam menjalankan tugas atau profession bagi mencapai tujuan dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, perubahan positif ini telah mengubah P & P pendidik seterusnya melahirkan pendidik yang inovatif, berpengetahuan luas, berakhlak mulia, dan berketrampilan.
Seterusnya ialah implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan terhadap institusi pendidikan di negara kita. Dalam institusi pendidikan sekarang, dapat kita lihat perubahan seperti perubahan kemudahan-kemudahan supaya para pelajar mendapat peluang bagi mengembangkan lagi potensi yang ada dalam diri mereka dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani secara seimbang.
Selain itu, akitiviti budaya sekolah juga mengalami perubahan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa para pelajar. Perubahan iklim sekolah yang kondusif juga telah melahirkan para pelajar yang menghargai ilmu dan melahirkan budaya-budaya positif seperti budaya membaca di kalangan mereka.
Sebagai rumusannya, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam menyusun atur strategi bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya memberi impak positif dalam perkembangan sistem pendidikan di negara kita ini.

No comments:

Post a Comment