Showing posts with label PENGETAHUAN. Show all posts
Showing posts with label PENGETAHUAN. Show all posts

Monday, 2 July 2012

cabaran pendidikan guru


Cabaran Pertama:

Selepas tahun 2000, cabaran profesionalisme pendidikan guru semakin hebat apabila kerajaan memutuskan mata pelajaran Matematik dan Sains perlu diajar dalam bahasa Inggeris untuk tahun Satu, Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam Rendah. Dengan perubahan ini, struktur kurikulum diubahkan sedikit dan guru-guru yang terlibat terpaksa mengajar dalam bahasa Inggeris. Jadi pelaksanaan ini dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2003.

Bukan mudah untuk memastikan pelajaran ini dijalankan secara berkesan. Dalam pengajaran ini khasnya Tahun Satu, guru-guru sekolah rendah diberikan kemudahan peralatan komputer untuk memudahkan teknik pengajaran. Sementara itu guru-guru yang sedang mengikuti program Diploma Pendidikan di maktab perguruan dan Sarjana Pendidikan di IPTA perlu menjalani kaedah pengajaran dalam bahasa Inggeris dan pensyarah juga perlu menggunakan bahan rujukan bahasa Inggeris dalam kursus-kursus tertentu. Dalam latihan pratikum, guru-guru pelatih perlu mengajar dalam bahasa Inggeris untuk matapelajaran Matematik dan Sains dan bukan lagi bahasa Melayu sebagaimana diamalkan sebelum itu.

Dengan pelaksanaan kaedah ini kerajaan mengharapkan pelajar-pelajar yang didedah dengan kemahiran pengajaran bahasa Inggeris dalam merentasi kurikulum Matematik dan Sains dapat menguasai bahasa Inggeris dengan lebih berkesan sama ada dalam penulisan mahu pun pertuturan. Sebagaimana yang kita tahu, banyak sumber dan ilmu dalam matapelajaran ini boleh diterokai melalui buku bahasa Inggeris.


Cabaran Kedua:

Dalam sistem pembelajaran pada hari ini boleh dikatakan semua dunia menggunakan sistem peperiksaan sebagai ciri-ciri asas untuk mengukur keupayaan dan kebolehan seseorang. Di Malaysia peperiksaan yang penting bagi peringkat sekolah rendah dan menengah ialah PMR, SPM dan STPM. Ketiga peperiksaan ini kesemuanya dianggap penting. Dengan kata lain ia dianggap too exam-orinted. Dengan pengkaedahan ini, semua murid atau pelajar diperlukan banyak mengingat sesuatu fakta, berkebolehan dalam menganalisis dan menyelesaikan sesuatu masalah untuk lulus sesuatu peperiksaan sama ada dalam SPM mahu pun STPM.

Secara terperinci bukan bermakna dengan sistem ini semua pelajar terpaksa mengingati kesemuanya tetapi ada tajuk-tajuk tertentu dalam sesuatu mata pelajaran memerlukan ketajaman, kecekapan otak serta kreativiti dalam menyelesaikan masalah. Dalam matapelajaran bahasa Inggeris dan bahasa Malaysia, sebagai contoh, keperluan dalam kebolehan mengeluarkan idea juga diutamakan. Boleh jadi pada masa hadapan kebanyakan sistem peperiksaan yang ada akan dinilai juga melalui penilaian dalam kerja-kerja kursus sebagaimana yang banyak dilakukan di sekolah-sekolah menengah USA. Dengan cara ini mungkin pelajar tidak terasa tertekan sangat di mana mereka terpaksa mengharapkan kepada penilaian dalam satu peperiksaan akhir sahaja.

Walau bagaiamanapun oleh sebab amalan terhadap pendekatan peperiksaan sudah lama dilaksanakan di Malaysia nampaknya ia sukar diubah dengan serta merta. Kajian yang mendalam perlu dibuat dengan berhati-hati. Tambahan lagi penilaian yang bergantung kepada kerja kursus mungkin dari segi pemberian markah tidak berapa tepat dan kemungkinan guru-guru suka memberi markah yang lebih tinggi kepada pelajar yang mereka sukai. Seterusnya untuk menilai kerja-kerja kursus, sekolah-sekolah memerlukan kemudahan komputer yang lengkap bagi membolehkan pelajar dapat membuat tugasan atau kerja kursus dengan baik. Sekiranya sekolah-sekolah di luar bandar masih lagi kurang kemudahan tersebut kemungkinan pelajar menghadapi masalah. Dengan pelajar yang begitu ramai setiap buah sekolah kemungkinan juga guru-guru yang terlibat dalam penilaian kerja-kerja kursus tidak mempunyai masa yang cukup untuk menilai kecekapan pelajar.

Sebelum kita menerima atau melalui satu dasar baru penilaian dalam sistem peperiksaan, kita seharusnya menerima dahulu hakikat bahawa sistem peperiksaan yang ada sekarang. Pelaksanaan atau pendekatan peperiksaan adalah satu pendekatan yang terbaik untuk melatih pelajar mendisiplinkan diri dengan latihan, hafalan, pembacaan dan juga perbincangan dengan kawan-kawan. Tanpa sistem peperiksaan yang dianggap formal mungkin pelajar tidak bersungguh-sungguh untuk belajar.

Jadi, tanpa penilaian melalui sistem peperiksaan teratur, kita tidak dapat menilai dengan tepat, kebolehan dan ketajaman otak pelajar. Jadi kebolehan pelajar yang berbeza-beza di seluruh Malaysia ini membolehkan pihak kerajaan mengagihkan mereka ke jurusan tertentu dengan adil berdasarkan pencapaian dalam peperiksaan. Dengan kata lain, kalau mereka mahu memasuki jurusan perubatan, tunjukkan bukti bahawa mereka berupaya dalam beberapa penyelesaian masalah dalam soalan Matematik Tambahan dan juga Sains yang dikeluarkan di dalam kertas peperiksaan SPM dan juga STPM



Cabaran Ketiga:

Cabaran ketiga ialah berkaitan pelaksanaan sistem meritokrasi.Jadi dalam perkembangan profesionalisme pendidikan guru pada masa kini memang guru-guru perlu bekerja keras untuk memastikan semua pelajar akan dapat mencapai keputusan yang cemerlang, kalau tidak pelajar tidak akan pergi melanjutkkan pelajaran ke mana-mana. Semenjak dasar meritokrasi yang diperkenalkan tahun 2002, pelajar terpaksa belajar bersungguh-sunguh khasnya semasa berada di Tingkatan Enam. Ia juga memberi cabaran kepada guru-guru, pihak sekolah dan ibu bapa juga sentiasa mengharapkan guru-guru yang berkualiti. Sebenarnya bukan senang bagi setiap orang pelajar mendapat peringkat Perincipal A/B untuk setiap mata pelajaran yang diambil. Begitu juga pelajar yang belajar di kelas Metrikulasi. Sebenarnya idea meritokrasi ditimbulkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Dr, Mahathir pada awal bulan Ogos 2001 bagi memastikan semua pelajar yang berkelayakan atau berkauliti sahaja diterima masuk ke IPTA (Mohd Salleh Lebar).

Dengan pelaksanaan meritokrasi selama dua musim menyaksikan setiap buah sekolah yang mempunyai Tingkatan Enam memerlukan guru-guru yang berkualiti dalam semua matapelajaran yang diajar. Pihak pengetua juga terpaksa menyediakan kemudahan yang cukup bagi memastikan semua pelajar Tingkatan Enam tidak menghadapi masalah dari segi pembelajaran. Jadi apa yang kita lihat selama dua tahun, menunjukkan kebanyakan pelajar yang diterima masuk adalah pelajar-pelajar yang mempunyai semangat belajar yang tinggi dan ada semangat bertanding yang kuat di kalangan pelbagai kaum. Tanpa semangat bertanding dalam semua lapangan, negara kita tidak akan maju. Jadi semangat inilah yang perlu disemai di kalangan pelajar dan peranan guru adalah amat penting. Jadi tugas ini bukan sahaja dipukul oleh guru-guru tetapi juga pensyarah di maktab perguruan khasnya yang menyediakan KPLI dan IPTA yang ada menyediakan Ijazah Sarjana Muda dengan Pendidikan.

Bagi guru-guru yang mengajar di Tingkatan Enam memang menghadapi cabaran yang kuat kerana pada peringkat ini kebanyakan pelajar adalah golongan remaja dan mereka terpaksa membentukkan sikap positif di kalangan pelajar. Mungkin ramai pelajar Tingkatan Enam, pencapaian mereka kurang baik sedikit daripada yang dapat memasuki ke kelas Matrikulasi. Pelajar Melayu yang dapat memasuki ke kelas Matrikulasi adalah pelajar yang terpilih dan mempunyai pencapaian yang tinggi khasnya dalam matapelajaran Sains, Matematik Tambahan, Perakauanan dan juga bahasa Inggeris. Sedangkan pelajar Melayu yang belajar di kelas Tingkatkan Enam, pencapaiannya adalah sederhana. Bagi sesetengah sekolah pula, terdapat kekurangan guru-guru Fizik dan juga Metamatik Tambahan. Sebenarnya apabila berlaku sebarang pertukaran di kalangan guru-guru Matematik dan Sains maka proses pergantiannya mengambil masa sedikit.

Penulis: ar-rifke
Sumber : ariedrifke.blogspot.com

faktor perkembangan kanak-kanak




Mengikut kajian ahli psikologi, perkembangan kanak-kanak dipecahkan kepada 5 aspek iaitu aspek jasmani, kognitif, emosi, sosial dan rohani. Kelima-lima aspek ini pula adalah berasakn kepada 2 faktor yang utama iaitu dipengaruhi oleh faktor baka dan faktor persekitaran. Perkembangan ini biasanya dikaitkan dengan perkembangan atau perubahan fizikal tubuh badan. Ahli psikologi juga telah berpendapat bahawa tiada individu di dunia ini yang mempunya kadar perkembangan yang sama dan menjadikan faktor baka(nature) dan faktor persekitaran( nurture) sebagai penyebab ketidaksamaan kadar perkembangan individu.



3.1 BAKA (NATURE)


Baka ialah gen-gen yang diperturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya. Persekitaran pula merujuk kepada semua pengalaman luar individu tersebut. Kedua-dua faktor ini mempunyai ciri-ciri yang tertentu. Terdapat persamaan yang serupa bagi setiap pertumbuhan. Bagaimanapun, proses perkembangan setiap individu adalah berbeza. Perbezaan ini dapat dilihat melalui aspek fizikal, kognitif, emosi, sosial dan jasmani.

Pengaruh genetik atau baka keatas pertumbuhan dan perkembangan manusia ini sebenarnya dipelopori oleh Johann Gregor Mendel(1822-1889) di Austri. Menurut Norman L. Munn, dan Ee Ah Meng (1996) baka merupakan ciri-ciri yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen. Manakala R. Hilgard pula menyatakan bahawa baka ialah ciri-ciri biologi yang diturunkan melalui ibu bapa kepada anak-anaknya melalui gen. Amran Schienfed mengatakan bahawa baka menentukan persamaan antara ibu bapa dengan anak-anaknya, di kalangan ahli dalam satu kumpulan keluarga dari segi sifat-sifat seperti kebolehan , minat dan kawalan emosi.

Faktor baka atau nature lebih dikenali sebagai gen yang terdiri daripada nukleoprotein yang menentukan baka atau ciri keturunan. Kedudukan nukleoprotein terletak di atas lokus kromosom, yang berupa benang halus yang terdapat dalam nukleus sel sperma (jantan) juga sel ovum (betina). Mengikut kajian, kromosom mengadungi bahan DNA dan RNA dan masing-masing membawa gen-gen yang mengandungi sifat-sifat baka. Gen akan menguasai perkembangan manusia dan memberi sifat unik kepada setiap manusia.(sila lihat gambar 2 dalam bahagian lampiran). Tidak dinafikan bahawa pertumbuhan dan perkembangan individu dipengaruhi oleh faktor genetik individu tersebut. Sebagai contoh saiz dan bentuk badan, ketinggian, rambut dan warna.

Kajian ahli-ahli psikologi Galton(1865), Goddard(1890), Newman(1937) dab Sheldon(1962) telah membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kecerdasan dan intelek yang berbeza. Perbezaan kecerdasan di antara individu boleh diperhatikan daripada prestasi pelajar dalam sesuatu kelas. Kajian ahli-ahli psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasam individu dengan kecerdasan ibu bapa mereka. Biasanya, ibu bapa yang bijak pandai akan melahirkan anak-anak yang juga bijak pandai. Emosi seseorang juga diwarisi daripada baka ibu bapa. Misalnya, ibu bapa yang mempunyai emosi yang kurang stabil dan bersifat pemarah akan melahirkan anak yang agresif dan autokratik.






3.2 PERSEKITARAN (NURTURE)

Faktor kedua pula ialah persekitaran atau nurture. Faktor ini merujuk kepada keadaan semasa proses perkembangan kanak-kanak. Ini termasuklah pengalaman sebelum dan selepas lahir. Keadaan sebelum lahir merujuk kepada corak pemakanan, gaya hidup dan kesihatan si ibu. Keadaan selepas lahir pula adalah dipengaruhi oleh cara pemakanan, sosio ekonomi, tahap pendidikan, keluarga, rakan-rakan, ibadat, media dan persekitaran dunia.

Mengikut teori Ekologi Bronfenbrenner (1979,1989), menjelaskan bahawa perkembangan kanak-kanak merangkumi lima jenis sistem ekologi iaitu mikrosistem, mesosistem, ekosistem, makrosistem, dan kronosistem. Menurut Bronfenbrenner, kelima-lima sistem ekologi ini adalah mempengaruhi perkembangan kanak-kanak.

Mikrosistem merujuk kepada persekitaran terdekat dimana kanak-kanak lebih banyak menghabiskan masa dan interaksi secara langsung di dalam persekitaran itu. Sebagai contoh hubungan interaksi secara langsung antara kanak-kanak dengan ibu bapa, guru dan rakan-rakan. Orang-orang dalam mikrosistem ini memainkan peranan yang tidak kurang penting di dalam perkembangan kanak-kanak.

Mesosistem pula merujuk kepada kaitan antara perhubungan dengan 2 mikrosistem. Hal ini bermaksud satu mikrosistem boleh mempengaruhi interaksi dengan mikrosistem yang lain. Misalnya keadaan yang berlaku di rumah boleh mempengaruhi sikap atau tingkah-laku di sekolah dan sebaliknya. Mengikut Bronfenbenner juga, kanak-kanak yang diberikan galakan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dalam mesosistem ini menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada kanak-kanak yang kekurangan peluang.


Ekosistem merupakan pengalaman dengan persekitaran yang tidak melibatkan kanak-kanak secara langsung tetapi keputusan yang diambil dalam persekitaran tersebut memberi kesan kepada kanak-kanak tersebut. Misalnya sekolah dengan pasar raya. Kaedah pengurusan, kemudahan dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasa oleh tempat membeli belah secara tidak langsung mempengaruhi perkembangan sosial kanak-kanak tersebut.

Makrosistem pula adalah perkembangan individu yang melibatkan norma-norma, nilai dan amalan masyarakat itu sendiri. Misalnya dalam sesetengah masyarakat, peranan jantina dititikberatkan (Santrock,2008). Di sesetengah negara, kaum lelaki diberi peranan yang lebih dominan dimana mereka diberi peluang pelajaran dan pekerjaan-pekerjaan yang penting.

Kronosistem pula melibatkan perubahan perkembangan dalam suatu tempoh masa. Sebagai contoh situasi kanak-kanak hari ini lebih berfokus kepada permainan-permainan komputer jika dibanding dengan kanak-kanak pada zaman dahulu kala yang lebih gemar bermain di persekitaran rumah.
Secara keseluruhannya, kelima-lima aspek ini adalah saling berinteraksi antara satu sama lain. Setiap unsur-unsur ini mempengaruhi perkembangan individu, maka setiap individu pasti mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza.


Penulis: ar-rifke
Sumber : ariedrifke.blogspot.com

IMPLIKASI FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang telah diumumkan secara rasmi pada tahun 1988 telah dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti faktor agama, sosial, politik, ekonomi, individu, dan faktor sejagat. Faktor-faktor ini telah menjadikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan mempunyai matlamat-matlamat yang tersendiri untuk dicapai. Justeru itu, segala aktiviti, perancangan, dan pencapaian hendaklah selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan sememangnya telah memberi beberapa implikasi terhadap sistem pendidikan di negara kita seperti implikasi terhadap kurikulum sekolah yang merangkumi beberapa aspek seperti perubahan sukatan subjek pelajaran yang berteraskan kepada program bersepadu seperti Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).
Selain itu, kurikulum sekolah juga dilihat telah mengalami perubahan dari segi bahan-bahan pengajaran yang lebih menitikberatkan nilai-nilai murni yang diserapkan kedalam semua subjek bagi mencapai matlamat untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis. Perubahan kurikulum sekolah juga dapat dilihat dalam sistem pendidikan negara kita yang mula berorientasikan ke arah pendidikan umum dan perubahan sukatan pelajaran yang sesuai bagi mengasah kemahiran pelajar dalam bidang teknologi, teknik dan vokasional.
Implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang seterusnya ialah terhadap pendidik iaitu perubahan peribadi pendidik selari pandangan dan visi positif dalam menjalankan tugas atau profession bagi mencapai tujuan dan matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Selain itu, perubahan positif ini telah mengubah P & P pendidik seterusnya melahirkan pendidik yang inovatif, berpengetahuan luas, berakhlak mulia, dan berketrampilan.
Seterusnya ialah implikasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan terhadap institusi pendidikan di negara kita. Dalam institusi pendidikan sekarang, dapat kita lihat perubahan seperti perubahan kemudahan-kemudahan supaya para pelajar mendapat peluang bagi mengembangkan lagi potensi yang ada dalam diri mereka dari segi intelek, rohani, emosi, sosial dan jasmani secara seimbang.
Selain itu, akitiviti budaya sekolah juga mengalami perubahan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam jiwa para pelajar. Perubahan iklim sekolah yang kondusif juga telah melahirkan para pelajar yang menghargai ilmu dan melahirkan budaya-budaya positif seperti budaya membaca di kalangan mereka.
Sebagai rumusannya, semua pihak memainkan peranan yang penting dalam menyusun atur strategi bagi mencapai matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan supaya memberi impak positif dalam perkembangan sistem pendidikan di negara kita ini.